Monday, May 19, 2008

ULASAN: THE FORGOTTEN (2004)


PENGARAH

Joseph Ruben (Sleeping With The Enemy, Money Train)

PELAKON

Julianne Moore, Cristopher Kovaleski, Anthony Edwards, Gary Sinise, Dominic West

SINOPSIS

Telly Parretta (Moore) bersedih atas kematian anak lelakinya dalam satu nahas kapal terbang setahun yang lalu.

Dia kemudian terkejut kerana tidak dapat menemui sebarang bukti kewujudan anaknya yang berusia lapan tahun.

Akhirnya, suami dan pakar psikiatri mendedahkan bahawa Telly sebenarnya mengalami delusi. Tidak ada anak lelaki yang wujud. Semua memori hanyalah ciptaan Telly semata-mata.

Telly mula keliru dan tertekan sehinggalah dia bertemu Ash Correll (West), seorang bapa yang mengaku mempunyai seorang anak perempuan yang turut meninggal dunia dalam nahas yang sama.

Telly dan Ash mula mencari sebab mengapa tidak ada orang yang ingat tentang anak-anak mereka kecuali diri mereka sendiri.

TAUKE SUKA SEBAB…

1. Permainan emosi Julianne Moore sepanjang filem berkesan. Pada bahagian awal filem, penonton akan tertanya-tanya sama ada benar atau tidak memori yang dicipta oleh karakter Telly.

2. Kesan khas yang menyeramkan. Nak tengok orang disedut pantas ke langit? Inilah filemnya.

TAUKE TAK SUKA SEBAB…

1. Ending yang mengecewakan. First half filem ini baik dan mendebarkan. Kemudian apabila penonton tahu bahawa ada unsur mahkluk asing dalam filem ini, segala debaran musnah.

2. Tidak jelas mekanisme kehilangan dan kewujudan semula kanak-kanak dalam filem ini. Apabila hilang, semuanya hilang. Tiada gambar, video, dan pakaian. Apabila ada, semua kembali dalam keadaan biasa. Too simple.

BABAK PILIHAN TAUKE

Manusia disedut pantas ke langit sambil memusnahkan bangunan di sekeliling. Zupp!

PELAKON PILIHAN TAUKE

Julianne Moore

METER TAUKE

3.4/5

Tuesday, May 6, 2008

ULASAN: 88 MINUTES (2007)


PENGARAH

Jon Avnet (The War, Up Close & Personal)

PELAKON

Al Pacino, Alicia Witt, Leelee Sobieski, Amy Brenneman, William Forsythe, Deborah Unger, Benjamin McKenzie, Neal McDonough

SINOPSIS

Profesor Jack Gramm (Pacino) merupakan seorang pakar psikiatri forensik dan pensyarah terkenal telah memastikan seorang pembunuh bersiri, Jon Forster (McDonough) dihukum mati.

Caranya? Hanya dengan keterangan Gramm di mahkamah sudah cukup meyakinkan juri untuk menyabitkan Forster dengan tuduhan membunuh.

Jon tidak puas hati dan menganggap Gramm memanipulasi juri dan saksi dengan kepakarannya.

Pada hari sebelum Forster dihukum mati, Gramm tiba-tiba mendapat satu panggilan telefon yang menyatakan dia akan mati dalam masa 88 minit.

Dengan kepakaran yang tinggi namun masa yang singkat, Gramm terpaksa mencari siapakah yang mengatur ugutan tersebut.

Dalam masa yang sama, Gramm diminta oleh polis Seattle untuk menyelesaikan kes bunuh wanita yang menyerupai teknik yang digunakan oleh Forster.

Gramm membongkar satu-persatu misteri Forster, panggilan ugutan, dan pelajar kelas forensiknya.

TAUKE SUKA SEBAB…

1. Dah lama tak tonton persembahan mantap Al Pacino. Ini filem yang menonjolkan karakter klasik Pacino: a cold,kick-ass guy.

2. Al Pacino. Kenapa Tauke tulis dua kali? Sebab dialah yang selamatkan filem ini (walaupun jauh berbanding mutu lakonannya dalam Scarface). Yang lain? Baca di bawah.

TAUKE TAK SUKA SEBAB…

1. Filem ini teruk. Kalau bukan sebab Al Pacino, filem ini mungkin tak masuk wayang. Jual untuk DVD saja. Atau masuk TV.

2. Plotnya banyak yang pelik dan bercanggah. Gramm diugut akan mati dalam masa 88 minit, tapi sepanjang filem dia menerima tiga serangan bunuh. Kalau masa belum habis, kenapa mahu bunuh?

3. Pelakon lain, oh my God, sangatlah memalukan. Pelajar-pelajar kelas forensik Gramm memang semua macam kayu.

4. Karakter lain tak dikembangkan langsung. Asalkan boleh jadi suspek pembunuhan, cukuplah. Kalau pelakon wanita, memang jual muka saja.

BABAK PILIHAN TAUKE

Minit-minit terakhir sebelum masa ugutan ke atas Gramm tamat. Walaupun hero tua berlari-lari, bolehlah. Nampak thrill.

PELAKON PILIHAN TAUKE

Al Pacino

METER TAUKE

3.1/5

ULASAN: SWEENEY TODD (2007)


PENGARAH

Tim Burton (Big Fish, Charlie and The Chocolate Factory, Corpse Bride)

PELAKON

Johnny Depp, Helena Bonham Carter, Alan Rickman, Timothy Spall, Sacha Baron Cohen

SINOPSIS

Sweeney Todd (Depp) atau nama sebenarnya Benjamin Barker kembali semula ke kota London setelah melarikan diri dari penjara.

Todd dipenjarakan oleh Hakim Turpin (Rickman) atas jenayah yang tidak dilakukannya. Sebab? Turpin mahu rampas isteri Todd yang jelita dari tangannya.

Tiba di London, Todd kecewa dan marah setelah tahu bahawa isterinya mati membunuh diri selepas dicabul di khalayak ramai oleh Turpin.

Berita sedih ini disampaikan oleh Ms. Lovette (Carter) yang akhirnya setuju menyewakan bahagian atas kedainya kepada Todd untuk dijadikan kedai gunting/dandan.

Dendam dan marah Todd menyebabkan dia menggunakan kedai gunting/dandan untuk membunuh sesiapa saja.

Pisau cukur tajam mengelar hampir setiap leher yang singgah di kedai Todd.

Todd bertambah sakit hati apabila mengetahui anak gadisnya kini sudah dewasa dan berada di bawah jagaan Turpin.

Setiap hari, dia menunggu kedatangan Turpin (atau sesiapa saja) untuk dibunuh.

TAUKE SUKA SEBAB…

1. Ini filem muzikal. Syarat utama filem muzikal: lagu mesti sedap didengar. Itulah yang Tauke dengar sepanjang filem ini. Lagu sedih, romantis, lucu; semuanya ada. Merdu dan mengasyikkan.

2. Tema Victorian goth yang dipilih Burton sangat-sangat menjadi. Solekan dan kostum semua pelakon membawa penonton ke era silam London.

3. Johnny Depp tak pernah gagal bawa watak-watak unik begini. Willy Wonka, Edward The Scissorshand, Captain Jack. Kali ini, Sweeney Todd. Superb.

TAUKE TAK SUKA SEBAB…

1. Kesan darah membuak-buak dalam filem ini sedikit melampau. Kalau orang mabuk darah, memang tak boleh tengok filem ini.

2. Ending filem ini boleh dijangka. Bosanlah sikit.

BABAK PILIHAN TAUKE

Nyanyian Todd dan Lovette ketika mula-mula dapat idea untuk menyembunyikan mayat yang telah dibunuh Todd. Macam-macam fantasi tentang manusia yang ‘enak’ untuk dibuat pai.

PELAKON PILIHAN TAUKE

Johnny Depp

METER TAUKE

3.9/5

ULASAN: THE NEGOTIATOR (1998)


PENGARAH

F. Gary Gray (A Man Apart, The Italian Job)

PELAKON

Samuel L. Jackson, Kevin Spacey, David Morse, Ron Rifkin, John Spencer, Paul Giamatti, J.T. Walsh

SINOPSIS

Danny Roman (Jackson), seorang pegawai polis dan pakar runding tebusan mendapati dirinya disabotaj dengan dua tuduhan palsu: membunuh rakan sekerja dan menggelapkan wang polis.

Tidak mahu terperangkap, Roman mengambil keputusan menyerbu Bahagian Hal Ehwal Dalaman polis Chicago dan menahan empat orang tebusan.

Permintaan Roman mudah, selagi mana tidak ada pihak yang tampil menjelaskan keadaan sebenar, maka selagi itulah tebusan tidak akan dibebaskan.

Polis Chicago berhadapan tugas sukar. Mengapa?

Mana tidaknya, Roman yang sebelum ini mengendalikan kes-kes penahanan tebusan untuk mereka. Kini mereka yang perlu berunding dengan Roman.

Roman tak percayakan sesiapa dalam jabatan polis Chicago. Dia minta Chris Sabian (Spacey), seorang pakar runding tebusan dari jabatan lain untuk berunding dengan beliau.

Polis Chicago menunggu seorang demi seorang tebusan dibebaskan.

Roman menunggu satu demi satu rahsia sabotajnya dibongkar. Siapa sebenarnya yang bersalah?

TAUKE SUKA SEBAB…

1. Pantas dan mendebarkan. Memang tak senang duduk tengok filem ini. Plot laju dan mencemaskan. Adegan tembak-menembak pun penuh aksi.

2. Boleh belajar situasi sebenarnya yang dihadapi polis kalau ada penjenayah pegang tebusan. Menakutkan. Matlamat utama ialah tebusan selamat dan tiada yang meninggal dunia, termasuk penjenayah.

3. Skrip ringkas. Tak berjela-jela. Terutamanya dialog Roman dan Sabian. Maksudnya sama: Aku tak kenal kau. Kau tak kenal aku. Kita buat kerja masing-masing.

TAUKE TAK SUKA SEBAB…

1. Watak Chris Sabian sikit sangat dalam filem ini. Tak puas ditonton lakonan Spacey yang mantap.

BABAK PILIHAN TAUKE

Babak Roman berunding dengan Sabian kali kedua: selepas Roman melepaskan tembakan dalam bangunan dan Sabian ugut Roman bahawa kalau dia tembak sekali lagi, tiada lagi rundingan.

PELAKON PILIHAN TAUKE

Kevin Spacey

METER TAUKE

3.9/5

ULASAN: SUMOLAH (2007)


PENGARAH

Afdlin Shauki

PELAKON

Afdlin Shauki, Inthira Charoenpura, Gurmit Singh, Awie, Radhi Khalid, Patrick Teoh, Kartina Aziz

SINOPSIS

Ramlee (Afdlin Shauki) seorang pemuda malas yang sentiasa ada masalah mendapatkan kerja. Apabila tiada kerja, wang pun susahlah masuk.

Kebetulan semasa Ramlee merayau-rayau kelaparan, restoran Boleh Sushi milik Honda (Patrick Teoh) mengiklankan cabaran makan sushi sebanyak mungkin dalam masa tertentu.

Kalau habis, dapat percuma. Kalau tak habis, kena bayar.

Ramlee yang lapar ekstrem yakin mampu menghabiskan sushi sebanyak mungkin dengan pantas tapi gagal.

Lantaran tak berduit nak membayar, Ramlee bekerja di restoran tersebut untuk ganti bayaran sushi di samping Haris (Awie) dan Andy (Radhi Khalid).

Kisah Ramlee tambah menarik dengan penglibatan restoran Boleh Sushi dalam pertandingan sumo.

Melalui latihan menjelang pertandingan itulah, Ramlee semakin mengenali rakan sekerja, musuh Honda, dan anak gadis Honda yang manis.

TAUKE SUKA SEBAB…

1. Hasil kerja Afdlin yang unik. Afdlin bijak mengadunkan budaya Jepun dan Melayu dalam satu filem yang menceritakan sushi dan sumo: antara lambang budaya Jepun.

2. Gandingan Afdlin-Awie-Radhi agak menjadi. Lawak ringan tapi bermutu. Tidaklah slapstik sangat.

3. Adegan perlawanan sumo memang nampak real. Boleh rasa tekanan dan cabaran fizikal dalam sukan tradisi Jepun, walaupun orang kita yang bercawat!

TAUKE TAK SUKA SEBAB…

1. Terlalu banyak babak yang berulang mesejnya: Melayu malas, Jepun rajin. Kalau banyak sangat teladan, bosan juga. Haha.

2. Karakter lakonan Gurmit dan Inthira tak seimbang. Gurmit nampak serasi dengan Afdlin (mereka pernah bersama-sama dalam sitkom Phua Chu Kang). Inthira? Penghias dan marketing saja. Cakap Melayu pun terkial-kial.

3. Semua maklum Celcom dan Ogawa taja filem ini. Tapi, kadang-kadang over pula logo Celcom dan Ogawa terpampang di sepanjang filem. Sakit mata Tauke.

BABAK PILIHAN TAUKE

Perlawanan akhir sumo.

PELAKON PILIHAN TAUKE

Patrick Teoh

METER TAUKE

3.5/5

Sunday, May 4, 2008

ULASAN: THE USUAL SUSPECTS (1995)


PENGARAH

Bryan Singer (Public Access, X-Men, X2, Superman Returns)

PELAKON

Stephen Baldwin, Benicio Del Toro, Gabriel Byrne, Kevin Pollak, Kevin Spacey, Chazz Palminteri, Peter Postlethwaite

SINOPSIS

Roger Kint (Spacey) merupakan satu-satunya penjenayah yang terselamat dalam letupan sebuah kapal yang dikatakan membawa bekalan dadah untuk pertukaran haram dadah-wang antara dua geng jenayah.

Setelah diasak pelbagai soalan oleh Ejen Dave Kujan (Palminteri), Kint akhirnya menceritakan semula apa sebenarnya yang berlaku di atas kapal tersebut.

Kint dalam ceritanya membongkar pakatannya dan empat orang penjenayah lain untuk melakukan pelbagai jenayah setelah mereka semua bertemu dalam lokap yang sama selepas satu sesi soal siasat.

Pakatan mereka akhirnya diketahui oleh legenda dunia gangster iaitu ‘Keyser Soze’ yang akhirnya mengupah pakatan itu untuk menyekat pertukaran dadah-wang yang bakal berlaku di atas kapal tersebut, kononnya milik musuh perniagaan Soze.

Pakatan itu yang diketuai oleh seorang bekas polis, Michael McManus, bersetuju untuk bekerjasama dengan Soze tetapi akhirnya mendapati bahawa apa yang ada di atas kapal tersebut bukanlah seperti yang digambarkan.

Dan mereka mengetahui siapakah Keyser Soze yang sebenarnya.

TAUKE SUKA SEBAB…

1. Ending yang tak dijangka. Plot twist berlaku beberapa kali pada minit-minit akhir filem ini. Memang hebat. Antara ending filem paling menarik pernah Tauke tonton.

2. Ada keserasian pada kelima-lima watak penjenayah yang menjadi tunjang filem ini. Kadang-kadang lucu, sedih pun ada. Sangat berkesan.

TAUKE TAK SUKA SEBAB…

1. Watak Ejen Kujan membosankan dan kaku.

2. Plot filem berbelit-belit sikit di pertengahan filem. Banyak sangat karakter dan perkaitan yang ingin disampaikan. Boleh jadi keliru jugalah.

BABAK PILIHAN TAUKE

Babak akhir apabila semuanya terbongkar. Mengejutkan.

PELAKON PILIHAN TAUKE

Kevin Spacey

METER TAUKE

4.1/5